Hamas masih berusaha mengesan suspek utama serangan bom terhadap konvoi Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah di Gaza, minggu lalu, lapor Reuters.

Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza mengumumkan ganjaran AS$5,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat mengenai lokasi suspek utama serangan itu sebelum ini.

Namun, mereka tidak mendedahkan motif serangan itu dan kaitannya dengan sebarang kumpulan militan.

Pada 13 Mac lalu, konvoi Hamdallah dan ketua keselamatan Palestin, Majid Faraj diserang di Gaza.

Berikutan itu, pasukan keselamatan Hamas mengadakan pemeriksaan di beberapa jalan raya di Gaza bagi memeriksa kenderaan dan kad pengenalan orang ramai.

Kementerian Dalam Negeri Gaza dalam satu kenyataan menyatakan bahawa perkhidmatan keselamatan dalam proses mengesan beliau (suspek utama) sebelum menahannya.

Bagaimanapun, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menuduh Hamas bertanggungjawab ke atas insiden serangan bom itu.

sumber – MediaAdil