Recep Tayyip Erdoğan

ISTANBUL 9 Dis. – Presiden Turki, Recep Tay­yip Erdogan menyifatkan siri tunjuk pera­saan yang dilakukan pergerakan ‘ves kuning’ khususnya bantahan ke­naikan harga bahan api di Perancis mendedahkan kegagalan Eropah da­lam sistem demokrasi dan hak asasi manusia.

PressTv yang memetik Recep Tayyip sebagai berkata, tunjuk perasaan yang dilakukan secara besar-besaran itu juga menunjukkan Eropah gagal dalam menyediakan kebebasan bersuara terhadap rakyat.

“Turki secara jelas membantah semua tunjuk pera­saan yang mencetuskan ke­ganasan serta kemusnahan. Na­mun, apa yang berlaku di Pe­rancis secara jelas menunjukkan Eropah gagal mewujudkan sistem demokrasi, hak asasi manusia serta ke­be­­basan yang baik.

“Dinding keselamatan yang Eropah bina selama ini semakin goyah dan bukan­nya disebabkan oleh kemasu­kan golongan pendatang ma­­hupun komuniti Islam, te­tapi berpunca daripada pen­duduknya sendiri,” katanya ketika berucap dalam himpunan rakyat di sini.

Bagaimanapun, beliau ti­dak menolak kemungkinan ke­kecohan yang berlaku kini berpunca da­ripada kumpulan militan Kurdis iaitu Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang bebas beroperasi di rantau Eropah.

Dalam perkembangan ber­kaitan, polis Perancis menahan hampir 2,000 penunjuk pera­saan di seluruh negara sema­lam.

Pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 126 orang cedera di Paris terma­suk tiga anggota polis, namun tiada kecederaan parah.

Dianggarkan seramai 125,000 penunjuk perasaan berhimpun di seluruh negara dengan 10,000 di Paris, selain menyaksikan ba­nyak kemusnahan berlaku.

Kumpulan penunjuk pera­saan memecahkan pintu depan premis-premis perniagaan selain kenderaan juga dibakar.

Selain itu, tunjuk perasaan juga berlangsung di beberapa bandar lain termasuk Lyon, Bordeaux, Toulose, Marseille dan Grenoble.

Perhimpunan ves kuning itu turut merebak ke beberapa negara Eropah yang lain termasuk Belgium dan Belanda, menyaksikan penunjuk perasaan menyekat jalan-jalan utama.

Beberapa rakaman video me­nunjukkan polis perusuh meng­gunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Edouard Phillipe berikrar untuk ‘mengembalikan semula perpaduan kebangsaan’ di negara itu.

Jelasnya, peningkatan cukai dan harga bahan api tidak seharusnya menjadikan Perancis sebagai sebuah negara bergolak.

Beliau juga menegaskan bahawa Presiden, Emmanuel Macron akan mengambil langkah sewajarnya untuk meredakan keadaan. – Utusan Online