Polis memberi amaran kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes cabul seorang gadis bawah umur, Isnin ini.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, pihak polis akan menangkap Shahidan di mana sahaja jika Ahli Parlimen Arau itu gagal hadir.

Katanya, setakat ini, peguam kepada Shahidan telah memberi jaminan kehadiran anak guamnya itu ke mahkamah pada Isnin ini.

“Kalau dia (Shahidan) tidak datang, kita akan tangkap di mana sahaja. Kita keluarkan waran menahannya. Sakit atau ada apa urusan sekalipun kena hadir pada hari Isnin ini, pukul 9 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Sesyen di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahidan kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan kes dipercayai mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Hassan setelah Ketua Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Dalam reaksi ringkas Shahidan selepas itu, beliau hanya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan apa sahaja kerana mereka berkuasa.

Baru-baru ini, tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan walau bagaimanapun menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut.

Sementara itu, sumber daripada individu terdekat dengan Shahidan, mengesahkan bahawa bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan hadir ke mahkamah Isnin ini.

“Insya-Allah Shahidan akan hadir,” katanya.- UTUSAN ONLINE