Seramai 13 terkorban dan 16 tercedera ketika sebahagian daripada sebuah gereja roboh menimpa penganut selepas serangan ribut kuat berhampiran bandar timur Afrika Selatan Durban, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Kemalangan berlaku lewat Khamis lepas ketika satu bahagian dinding bata di bawah bumbung sementara roboh semasa upacara sembahyang di gereja Pentecostal yang beroperasi dalam sebuah bangunan penyimpanan kapal terbang yang diubah suai di pekan Ndlangubo, utara Durban, dalam wilayah KwaZulu-Natal.

“Tragedi sebegitu mencatatkan 13 kematian manakala 16 orang menerima rawatan daripada paramedik,” menurut Robert McKenzie, jurucakap perkhidmatan kecemasan di wilayah Kwa-Zulu Natal.

Pihak berkuasa menyatakan insiden berlaku semasa upacara Passover kira-kira jam 11.15 malam waktu tempatan ketika beratus-ratus penganut berkumpulan bagi upacara Paska pada hujung minggu yang panjang.

“Para jemaah sedang tidur di dalam bangunan selepas upacara di gereja tamat sejurus selepas jam 10 malam waktu tempatan,” menurut jurucakap polis wilayah Kolonel Thembeka Mbele.

“Tiba-tiba angin kuat dan hujan melanda menyebabkan dinding roboh.

“Sebanyak 13 kematian yang disahkan adalah 12 wanita dan seorang budak lelaki.

“Satu inkues telah dibuka dan pihak polis masih berada di tempat kejadian,” tambah Mbele.

Beberapa penduduk tempatan yang terkejut oleh tragedi tersebut memandang selama beberapa jam ke arah bahagian dalaman bangunan yang musnah.

“Tiada rangkaian (telefon bimbit) maka saya hanya berlari ke balai polis dan memaklumkan pihak polis, mereka segera bertindak dan telah membantu kami,” kata Pastor P.Y. Sibiya.

Zwelihle Dhlamini, yang kehilangan seorang rakan dalam tragedi tersebut, memberitahu rasa terkejutnya.

“Sekarang saya tidak dapat mempercayai apa yang telah berlaku.

“Saya masih belum pulih daripada rasa terkejut dan begitu juga teman-teman kami yang lain.

“Mereka masih menghubungi saya, mereka masih menghantar mesej seakan-akan sesuatu akan berubah,” katanya.

Menteri Buruh Mildred Oliphant, seorang anggota gereja, menyatakan sukar bagi menerima kemalangan tersebut, namun kita tahu Tuhan mempunyai agendanya sendiri.

“Saya akan pergi ke gereja pada hari ini.

“Kemungkinan pada hujung minggu depan, kita akan mengetahui sebenarnya sama ada bangunan itu dibina seperti yang sepatutnya atau adalah terdapat cabaran mengenai bangunan sebelum kita boleh menyatakan apa-apa,” tambahnya lanjut.

Sementara itu pihak polis telah melancarkan satu siasatan ketika para penganut lain menyertai pihak berkuasa dalam menyampaikan ucapan takziah.

“Kami telah berdoa untuk mereka, ucapan takziah ikhlas kami buat keluarga yang terlibat.

“Sebagai penganut Kristian, kita berdoa untuk satu sama lain dalam keadaan susah dan senang.

“Sememangnya mereka di Empangeni sentiasa berada dalam doa kita,” menurut timbalan pengerusi wilayah Majlis Gereja-Gereja Afrika Selatan (SACC) Father Mlungisi Ntsele. — AFP