Pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Islam Rohingya di negeri Ra­khine, Myanmar masih berterusan dan kawasan tersebut tidak selamat bagi membolehkan pelarian pulang ke kediaman masing-masing.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Misi Pencarian Fakta Terhadap Myanmar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Marzuki Darusman ketika membentangkan laporan berkenaan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) selain meminta isu tersebut dipanjangkan kepada tribunal antarabangsa.

Menurutnya, selain pembunuhan beramai-ramai atau genosid, konflik itu termasuk mengecilkan populasi, pencegahan kelahiran dan perpindahan di merata-rata penempatan sementara.

“Ini merupakan pembunuhan yang berterusan,” katanya.

Laporan setebal 444 muka surat itu pertama kali disiarkan kepada umum pada bulan lalu, meminta UNSC untuk merujuk isu tersebut ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague atau menubuhkan tribunal serta-merta seperti yang dilakukan terhadap bekas negara Yugoslavia.

Laporan itu menyatakan ba­hawa jeneral Myanmar, termasuk Ketua Tentera, Min Aung Hlaing, mesti disiasat dan didakwa atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Rakhine.

Sebelum ini, Myanmar menafikan dakwaan kekejaman ketenteraannya sehingga memaksa 720,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Marzuki menambah, konflik itu menyaksikan kira-kira 390 kampung dimusnahkan dan 10,000 penduduk Rohingya terkorban.

“Situasi ini tidak selamat, tidak sesuai buat Rohingya di Bangladesh untuk kembali ke tanah air mereka,” katanya sambil menambah sebarang cubaan untuk membawa pulang pelarian akan membawa lebih banyak kematian. – AFP