Gempa Lombok: Angka kematian meningkat 82

Sekurang-kurangnya 82 dilaporkan maut dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda Lombok pada Ahad, yang turut menggegarkan Bali, selepas seminggu insiden sama mengorbankan lebih 10 mangsa.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, ribuan mangsa meninggalkan kediaman mereka di Lombok untuk berkumpul di kawasan terbuka yang menjadi pusat perlindungan kecemasan. 

Pihak itu meletakkan angka kematian pada 82, lebih dua kali ganda dari jumlah yang dilaporkan sebelumnya pada 39, dengan kebanyakan yang mati dari kawasan utara dan barat Lombok.
 
Gempa bumi bermagnitud 7.0 pada skala Richter itu, berlaku jam 6.46 petang waktu tempatan, telah mencetuskan amaran tsunami singkat.

Ia turut mengakibatkan kerosakan bangunan hingga ke Denpasar di Bali, termasuk sebuah pusat membeli belah dan terminal lapangan terbang, menurut pihak berkuasa.

Video menunjukkan orang ramai menjerit panik keluar dari rumah mereka di Bali dan kenderaan mereka bergoncang.

Di Lombok, anggota tentera dan pasukan penyelamat lain menggunakan pengusung dan permaidani bagi mengangkut mangsa yang tercedera ke pusat pemindahan.

Muhammad Rum, ketua agensi pengurusan bencana di wilayah Nusa Tenggara Barat, yang termasuk Lombok, dipetik berkata stesen televisyen tempatan, jumlah yang terkorban telah meningkat kepada 39 orang.

– Astro Awani