Tanah mengalir seperti cecair telah menyebabkan kebanyakan bangunan runtuh di Palu selepas dilanda gempa 7.5 magnitud yang telah meragut lebih seribu nyawa.

Di kawasan kejiranan Balaroa, kira-kira 1,700 rumah ditelan bumi akibat fenomena tanah mencair itu.

Imej satelit di daerah Petobo, selatan lapangan terbang Palu juga menunjukkan kawasan pembangunan bandar musnah dalam kejadian tersebut.

“Apabila gempa berlaku, lapisan di bawah permukaan bumi menjadi berlumpur dan tidak stabil. Aliran lumpur yang banyak itu telah mengheret kompleks perumahan di Petobo yang menjadikan ia kelihatan seperti ditelan bumi. Kami anggarkan terdapat 744 unit di kawasan itu,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Rakaman video amatur turut memaparkan pokok, bangunan dan menara komunikasi ‘diheret’ tanah runtuh tersebut.

Sekurang-kurangnya 34 kanak-kanak di kem agama Kristian juga dilanda aliran tanah mencair itu.

Difahamkan, fenomena tanah menjadi cecair itu biasanya berlaku di tanah yang ditebus guna selain kawasan cetek berhampiran laut atau sungai juga terdedah dengan ancaman itu.

“Tanah buatan manusia hanya menjadikan zarah tanah tidak stabil berbanding jika ia terbentuk secara semula jadi,” kata pensyarah di Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Universiti Kyoto, Toshitaka Kamai.

Bandar Urayasu di mana majoriti kawasannya adalah tanah tebus guna menyaksikan 86 peratus mencair susulan bencana berganda melanda Jepun pada 2011.

Ia mengambil masa selama enam tahun untuk memulihkan sistem pembetungan bawah tanah, saluran paip dan kemudahan gas. – Reuters