FedEx naik taraf pesawat perkenal Boeing 767F di Malaysia

SYARIKAT pengangkutan ekspres terbesar dunia, FedEx Express, menaik taraf pesawat dengan memperkenalkan Boeing 767-300 Freighter (B767F ) di Malaysia.

Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, SC Chong berkata, menerusi pengenalan pesawat baharu ini ia akan mengukuhkan lagi keupayaan penghantaran keluar masuk dari Malaysia ke 20 bandar utama di Asia.

“Sekali gus menghubungkan Malaysia ke pusat dagangan utama di rantau ini. Pada masa sama ia juga memudahkan penghantaran dua hala ke Amerika Syarikat dan Eropah.

“Pesawat ini bakal beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mempunyai di Bayan Lepas,” katanya.

Katanya, dengan pertumbuhan pesat industri tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Lembah Klang, kecekapan operasi B767F akan membolehkan FedEx memenuhi peningkatan jumlah import dan eksport negara.

“Segmen PKS menjadi teras transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi dan kekal sebagai pemacu pekerjaan dan pertumbuhan yang penting, meliputi 97 peratus perniagaan Malaysia, 65 peratus tenaga kerja dan 36 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Lembah Klang menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah PKS di negara ini, dengan 19.8 peratus di Selangor dan 14.7 peratus di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, PKS turut menyumbang 17.8 peratus daripada jumlah eksport negara dengan kenaikan jangkaan kepada 23 peratus menjelang 2020.

“Pengenalan perkhidmatan B767F adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang FedEx untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan kami di Malaysia, melalui peningkatan kemampuan yang berterusan,” katanya.

sumber – SinarHarian