Awal bulan ini, syarikat gergasi media sosial, Facebook mendedahkan bahawa ia akan melabur wang bernilai lebih AS$1.4 bilion (RM5.7 bilion) bagi tujuan membina pusat data di Singapura.

Pusat data itu juga merupakan yang ke-15 Facebook di seluruh dunia dan yang pertama dibina di rantau Asia, dan ia dijadualkan untuk mula beroperasi pada tahun 2020.

Walau bagaimanapun, sasaran (pembukaan pada tahun 2020) itu bergantung kepada kecekapan dan kepantasan proses pembinaannya.

“Ini akan menjadi pusat data pertama kami di Asia,” kata Thomas Furlong, Naib Presiden Pusat Infrastruktur Data Facebook dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Reuters, pusat berkenaan akan berpangkalan di bahagian barat Singapura, berdekatan dengan pusat data Google di Republik itu yang semakin berkembang, dengan nilai pelaburan bernilai kira-kira AS$850 juta (RM3.5 bilion).

Facebook berkata, pembinaan pusat data seluas 170,000 meter persegi tersebut akan mempunyai 11 tingkat, dilengkapi teknologi terkini yang sesuai dengan cuaca panas tropika, serta dapat mewujudkan ratusan peluang pekerjaan.

Bangunan berkenaan akan turut dibina daripada bahan-bahan binaan yang ringan dan menggunakan pengudaraan semula jadi sebagai kaedah penyejukan.

Bukan itu sahaja, malah ia juga akan mengguna pakai tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui sepenuhnya.

Difahamkan, Facebook mempunyai kira-kira 2.23 bilion pengguna aktif pada setiap bulan sehingga akhir bulan Jun lalu.

Antara sebab utama syarikat berkenaan memilih untuk membina pusat data di Singapura adalah kerana ia selesa bekerjasama dengan kerajaan negara itu, selain daripada kemudahan yang ada dan tenaga kerja mahir yang mencukupi.

Dalam pada itu, Facebook memiliki beberapa pusat data di Amerika Syarikat (AS), Ireland, dan Sweden.

Selain daripada Singapura, ia juga sedang membina sebuah fasiliti di Denmark.

“(Pembinaan) pusat data ini tidak khusus kepada negara-negara yang mempunyai pengguna (Facebook)….tetapi ia adalah sebuah proses yang dinamik,” jelas Furlong.

TDM