ADDIS ABABA: Polis Ethiopia telah menahan seorang bekas pemimpin wilayah timur Somali atas dakwaan mencabul hak asasi manusia dan menyebabkan berlakunya pertempuran etnik sehingga membawa maut, kata pejabat peguam negara.

Perdana Menteri Abiy Ahmed, yang mengetuai pembaharuan demokratik di negara Afrika dengan 100 juta penduduk itu, pada Sabtu berkata pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan di wilayah tersebut “sukar dipercayai” dan termasuk penyeksaan, rogol serta pembunuhan.

Pentadbir wilayah itu, Abdi Mohammed Omer, telah dipaksa meletak jawatan pada 6 Ogos selepas keganasan meletus di ibu negeri wilayah berkenaan iaitu Jijiga.

Sekurang-kurangnya 20 orang maut manakala beribu-ribu lagi melarikan diri dari Jijiga ketika perusuh merompak harta milik etnik minoriti serta membakar beberapa gereja Ortodoks Ethiopia.

Pihak berkuasa pusat berkata kekacauan yang berlaku di wilayah itu telah dicetuskan oleh para pegawai tempatan yang bimbang diberkas atas dakwaan mencabul hak asasi manusia.
Pada Isnin, Polis Persekutuan “menahan Abdi Mohammed Omer di kediamannya di Addis Ababa,” kata Perbadanan Penyiaran Ethiopia yang memetik kenyataan Pejabat Peguam Negara.

“Jenayah yang beliau lakukan termasuk mencabul hak asasi manusia dan memarakkan lagi pertikaian dalam kalangan etnik dan agama,” katanya sambil menambah bahawa pegawai lain turut diburu oleh polis.

Kumpulan hak asasi manusia telah menuduh pentadbiran Abdi melakukan pencabulan itu seperti penyeksaan manakala beberapa saksi mendakwa beliau telah mengarahkan pasukan separa tentera melakukan serbuan ke atas orang awam di wilayah Oromiya yang terletak berhampiran selepas pertempuran etnik di kawasan itu pada September tahun lepas.

Kerajaan telah memecat para pegawai kanan penjara wilayah pada bulan lepas susulan dakwaan berlaku penyeksaan.

Abiy pada Ahad menceritakan beberapa kes yang menyaksikan tahanan diletak dalam sel bersama-sama singa, dubuk dan harimau bintang untuk memaksa mereka membuat pengakuan.

Wilayah itu telah dibelenggu keganasan sejak tiga dekad lalu, yang menyaksikan kerajaan berperang dengan puak pemisah Ogaden National Liberation Front sebelum kumpulan itu mengisytiharkan gencatan senjata secara unilateral bulan ini susulan pembaharuan.

Anggaran kerajaan menunjukkan wilayah itu memiliki empat trilion kaki padu rizab minyak dan gas.

Syarikat GCL-Poly Petroleum Investments dari China telah membangunkan dua telaga gas di kawasan itu sejak 2013.

AA