Erdogan kata rakyat Turki tak akan melutut kepada Amerika

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini berjanji untuk terus melawan ‘serangan ekonomi’ yang dilakukan negara pembuli dunia – Amerika Syarikat (AS) – ke atas negaranya.

Dalam ucapan sempena Aidiladha ke seluruh negara, beliau menyifatkan serangan ekonomi yang dihadapi Turki itu sama seperti serangan terhadap laungan azan dan bendera negara itu.

“Tujuannya adalah sama iaitu supaya rakyat Turki melutut di kaki mereka dan dijadikan tawanan,” katanya.

Dalam ucapan yang dimuat naik menerusi video itu, Erdogan mengimbau sejarah kejayaan Perang Manzikert antara Empayar Byzantine dan Empayar Seljuk pada 26 Ogos 1071 di Manzikert (sekarang ini terletak di Daerah Mus, Turki), dan Perang Dumlupinar pada 1922.

Pada Perang Manzikert, tentera Empayar Seljuk Turki diketuai Sultan Alparslan mengalahkan tentera Byzantine dan menawan Anatolia.

Manakala, pada Perang Dumlupinar pada 30 Ogos 1922 pula menyaksikan Greek dikalahkan oleh tentera Turki.

Berharap umat Islam seluruh dunia diberi kebaikan, beliau juga menyampaikan pesanan perpaduan dan persaudaraan di kalangan penduduk Turki.

“Sesiapa yang cuba membuatkan Turki tunduk kepada mereka dengan menggunakan kumpulan pengganas, pemeras ugut di kalangan kita, akan melihat bahawa Turki tidak akan berputus asa terhadap tukaran asingnya,” katanya.

IsmaWeb