VIENTIANE: Sekurang-kurangnya 19 mangsa disahkan maut dan lebih 3,000 menunggu untuk diselamatkan dalam banjir kilat yang berlaku susulan kejadian empangan yang sedang dalam pembinaan runtuh di selatan Laos, menurut laporan media tempatan pada Rabu.

Memetik gabenor daerah itu, Bounhom Phommasane, akhbar The Vientiane Times melaporkan, selain yang ditemui mati dan yang menunggu bantuan penyelamat, kira-kira 2,851 mangsa telah diselamatkan.

Empangan Hidroelektrik Xe Pian-Xe Nam Noy dilaporkan runtuh pada Isnin, pukul 8 malam waktu tempatan, sekali gus melepaskan lima bilion meter padu air, menghanyutkan beberapa buah rumah serta meragut nyawa penduduk dan menyebabkan ribuan hilang.

Projek kuasa hidroelektrik Xe Pian-Xe Nam Noy yang sedang dibina oleh Xe Pian-Xe Nam Noy Power Company (PNPC), usaha sama antara syarikat-syarikat Korea Selatan, Thailand and Laos itu dianggarkan bernilai ASD1.02 bilion.

Ia dijangka berupaya menjana kuasa elektrik tahunan sebanyak 1,860 GWh.

– Astro Awani