Dua beradik, termasuk seorang bayi warga Palestin, terbunuh selepas rejim pengganas Israel menghalang anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah di kejiranan Al-Salaymeh berdekatan bandar lama Hebron di sini, malam tadi.

Seorang lagi yang dipercayai abang kepada kedua-dua mangsa turut terbakar dan dirawat di unit rawatan rapi hospital di sini, kata pengarah hospital, Dr Walid Zalloum.

Seorang daripada mangsa dilaporkan terbunuh di dalam rumah berkenaan, sementara seorang lagi meninggal di hospital.

Nama kedua-dua mangsa tidak diumumkan secara rasmi, tetapi media tempatan melaporkan mereka ialah Wael Al-Rajabi, 4 tahun, dan adiknya Malik, 18 bulan.

Jurucakap polis, Kolonel Loai Arziqat mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia, tetapi enggan memberi butiran lanjut.

Media melaporkan ketika kejadian, askar rejim Israel menghalang anggota bomba daripada memasuki kawasan kejiranan berkenaan bagi memadam kebakaran.

Dalam klip video yang dirakamkan jam 21.50 pagi, kenderaan bomba dilihat cuba memasuki kawasan itu tetapi dihalang di satu sekatan jalan raya, sementara penduduk tempatan meminta askar rejim yang ditempatkan di situ membuka sekatan berkenaan.

Askar rejim Zionis bagaimanapun, tidak mempedulikan permintaan itu, menyebabkan perkhidmatan kecemasan tidak dapat bertindak awal. Punca kebakaran masih belum diketahui.

Rejim pengganas Israel sudah tidak asing lagi dalam menyekat akses perkhidmatan kecemasan kepada penduduk Palestin.

Malah, mengikut statistik organisasi bantuan kepada rakyat Palestin dan Pertubuhan Palang Merah, sejak 2015 rejim itu menghalang ambulans melintasi pusat pemeriksaan dalam 123 kes.

Di samping itu, terdapat 386 serangan terhadap anggota palang merah di beberapa wilayah Palestin yang diduduki dalam tempoh yang sama, serta 105 ambulans dirosakkan rosak. – Agensi