Dua aktivis dari kapal Al-Awda dibebaskan

Dua orang dari 22 ahli misi kemanusiaan ‘Right to A Just Future for Palestine’ ke Gaza, di mana kapal mereka dipintas oleh tentera Israel Ahad lalu, telah dibebaskan.

Mereka adalah ketua kapal Al-Awda, Zohar Chamberlain Regev, dan bekas kapten tentera udara Israel, Yonathan Shapira, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Kedua-duanya mereka adalah warga Israel, kata Kamarul Zaman dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook MyCARE Isnin malam.

Kenyataan itu turut berkata, menurut sumber Freedom Flotilla Coalition, wakil tunggal Malaysia di atas kapal tersebut, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, masih ditahan di penjara Givon, Israel.

Kapal Al-Awda serta dua buah kapal kecil, Huriyyah dan Falastine, meninggalkan pelabuhan Messina, Sicily di Itali untuk meneruskan misi tersebut kira-kira jam 4 petang (waktu Malaysia) pada 22 Julai lalu.

Pelayaran bermula pada 22 Mei lalu di Copenhagen, Denmark dan telah melalui 28 pelabuhan di pelbagai lokasi serta peserta bersilih ganti menaiki kapal di lokasi berbeza dan telah melalui 5,794 batu nautika sejak mula pelayaran.

Kapal tersebut turut membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Antara aktivis lain yang berada di atas kapal tersebut termasuk ahli politik Norway, Mikkel Gruner; doktor pakar ortopedik United Kingdom, Dr Ang Swee Chai serta bekas atlet Norway, Prof Gerd Von der Lippe.

Pautan : Kapal Al-Awda Ditawan Israel

– Astro Awani