Tun Dr Mahathir Mohammad memaklumkan ada berhubung dengan pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), susulan isu penyertaan atlet Israel di Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya diadakan di Sarawak pada 29 Julai hingga 4 Ogos.

Berucap pada sidang media Pimpinan Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini, Perdana Menteri berkata, menerusi perbualan berkenaan, Hamas dan kepimpinannya turut mengucapkan terima kasih atas pendirian Malaysia berhubung isu itu.

“Saya fikir, beberapa pemimpin Arab sangat gembira dengan kenyataan dan keputusan Malaysia.

“Saya ada berhubung dengan mereka (pemimpin Arab), mereka menyatakan kegembiraan terhadap pendirian Malaysia, dan menyatakan sokongan ke atas usaha itu,” katanya dalam sidang media itu, yang turut disiarkan secara langsung di Facebook.

Dr Mahathir kemudian ditanya mengenai identiti pemimpin-pemimpin Arab yang beliau hubungi, dan menjawab:

“Para pemimpin Hamas dan beberapa pemimpin Arab yang lain.”

25 Januari lalu, pejabat rasmi Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Dr Mahathir ada berhubung dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Kenyataan itu berkata, Dr Mahathir menganggap Israel sebagai negara penjenayah, dan menyatakan bahawa Malaysia akan terus berkata benar selain meletakkan sedaya upaya usaha sehingga rakyat Palestin kembali mendapat hak mereka.

Selain itu, pemimpin berusia 94 tahun berkenaan turut menegaskan mengenai kesungguhan Malaysia untuk membentuk hubungan dua hala dengan Hamas.