Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak kisah dengan keputusan Donald Trump yang enggan hadir ke Sidang Kemuncak Asean di Singapura, sambil menyalahkan presiden Amerika Syarikat (AS) itu berhubung perang dagang AS-China.

“Ia tidak mengganggu saya. Kerana saya tidak tahu apa yang akan dia katakan, dan dia tidak komited,” kata perdana menteri dalam temu bual dengan CNBC di Singapura.

Beliau berkata Trump menjadi faktor peningkatan ketegangan antara Washington dan Beijing.

“Jika Trump tiada di sana, saya fikir ahli kerajaan AS yang lain sama ada Republikan atau Demokrat tidak akan meneruskan perang perdagangan yang sangat merosakkan ini,” kata Dr Mahathir yang terkenal dengan kritikannya terhadap dasar AS.

Katanya, beliau tidak fikir Trump akan dipilih semula untuk penggal kedua, mengatakan tanda-tanda itu dapat dilihat dalam keputusan pilihan raya pertengahan penggal, baru-baru ini.

Dr Mahathir juga berkata Trump suka menyingkirkan orang dan cepat membuat penyiasatan terhadapnya.

Menyifatkan Trump seorang yang sukar diramal, Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat menyatakan bagaimana pertemuan presiden AS itu dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.

“Kita tak pernah jangka dia akan berjumpa pemimpin Korea Utara. Kemudian dia berjumpa, dia menepuk bahunya, dia sangat mesra, tetapi pada suatu ketika dia berkata dia tidak mahu jumpa.

“Dengan Trump, anda tidak boleh meramalkannya.” – FMT