Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang berpendirian flip flop sejak beliau memegang jawatan di Rumah Putih pada 2016.

Trump dengan angkuh mengeluarkan ugutan secara terus kepada Iran dan mengancam negara itu akan musnah jika ia menyerang kepentingan AS walaupun Teheran menegaskan ia tidak mahu peperangan tercetus di Asia Barat.

Kenyataan konfrontasi menerusi Twitter itu dibuat beberapa hari selepas jutawan hartanah terbabit menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Teheran.

“Jika Iran mahu perang, ia akan menjadi pengakhiran rasmi buat negara itu. Jangan berani ugut AS lagi!” kata Trump di laman blog mikro tersebut semalam.

Dalam kenyataan berbeza menerusi wawancara bersama Fox News, Trump menyatakan beliau tidak mahu berperang dengan Iran, namun tidak akan membenarkan Teheran mempunyai senjata nuklear yang merupakan cita-cita besar negara itu.

“Dengan apa yang sedang berlaku, saya bukanlah individu yang mahu berperang kerana peperangan boleh memberi impak besar kepada ekonomi, membunuh orang tidak berdosa,” ujarnya.

Ketika wawancara itu, Trump turut menyentuh soal AS menarik diri daripada perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang memberi kesan besar kepada ekonomi Iran.

Sejak Mei 2018, ketegangan semakin meningkat antara Teheran dan Washington selepas Trump mengenakan semula sekatan ke atas Iran selain meningkatkan kempen tekanan ke atas negara itu.

Konflik antara kedua-dua negara terus meruncing selepas AS menghantar pasukan tentera termasuk kapal perang, USS Abraham Lincoln bersama pesawat pengebom ke Teluk Parsi pada awal bulan lalu sebagai respons terhadap ancaman Iran. – Agensi