SINGAPURA: “Pencerobohan terhadap data peribadi paling serius” dalam sejarah Singapura berlaku bulan lepas, yang melibatkan data milik Perdana Menteri Lee Hsien Loong, kata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Penerangan.

Dalam kenyataan mereka, kedua-dua kementerian itu berkata penyerang menyasarkan “secara khusus dan berulang kali” butiran serta maklumat peribadi Lee berkaitan ubat-ubatan yang diberi kepada beliau sebagai pesakit luar.

Mereka dilaporkan berkata 1.5 juta rekod pesakit SingHealth diakses dan disalin, manakala rekod ubat-ubatan yang diberi kepada 160,000 pesakit luar lain juga mengalami perkara sama.

Data peribadi yang diambil daripada 1.5 juta pesakit berkenaan termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat, jantina, bangsa dan tarikh lahir mereka, kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa penggodam bagaimanapun tidak meminda atau memadam rekod berkenaan.

Menurut kenyataan itu, perbuatan tersebut tidak menjejaskan rekod perubatan pesakit, termasuk keputusan diagnosis lampau, nota doktor dan keputusan saringan kesihatan mereka.

“Saya sendiri terjejas, bukan secara tidak sengaja. Penyerang menyasarkan data perubatan peribadi saya, secara khusus dan berulang kali,” kata Lee melalui laman Facebook beliau dalam respons segeranya tentang berita itu.

“Saya tidak tahu apa yang ingin dicari para penyerang itu. Mungkin mereka mencari beberapa rahsia sulit atau sekurang-kurangnya sesuatu yang boleh mengaibkan saya. Kalau itulah tujuannya, mereka tentu kecewa. Data perubatan saya bukanlah suatu yang ingin saya kongsi dengan orang lain, tetapi tiada apa yang membimbangkan tentang perbuatan itu,” tulis beliau.

Lee berkata apabila SingHealth mendigitalkan rekod perubatannya, mereka bertanya sama ada beliau ingin memasukkan juga rekod peribadi beliau ke dalam komputer atau beliau mahu menyimpannya dalam bentuk salinan cetak atas sebab keselamatan.

“Saya minta agar ia dijadikan dalam bentuk digital. Penggunaan kaedah digital akan membolehkan doktor merawat saya dengan lebih bekesan dan cepat. Saya yakin SingHealth akan bertindak dengan sebaik mungkin untuk melindungi maklumat peribadi saya sebagai pesakit, sama seperti yang mereka lakukan bagi semua pesakit lain dalam pangkalan data mereka.

“Sememangnya, saya juga tahu pangkalan data itu akan diserang dan terdapat risiko bahawa suatu hari nanti, walaupun kita berusaha dengan sebaik mungkin, ia akan diusik juga. Malangnya, perkara itu sudah berlaku sekarang,” katanya.

Lee berkata keselamatan dan kerahsiaan maklumat tentang pesakit merupakan perkara yang paling diberi keutamaan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Cyber Security Agency of Singapore (CSA) dan Smart Nation and Digital Government Group (SNDGG) supaya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Singapura untuk mengetatkan lagi langkah perlindungan dan proses berkenaan secara menyeluruh.

“Kami membentuk sebuah Jawatankuasa Siasatan untuk menyiasat kejadian itu dengan teliti dan menyeluruh. Tanpa sebarang keraguan, jawatankuasa itu akan membuat kesimpulan dan syor berharga yang akan membantu kami untuk berfungsi dengan lebih baik,” kata Lee.

Kata beliau, “ini merupakan suatu usaha secara berterusan.”

“Mereka yang cuba menceroboh sistem data kami itu sememangnya memiliki kemahiran yang amat tinggi serta azam yang cukup kuat. Mereka juga memiliki begitu banyak sumber dan tidak pernah berputus asa untuk mencuba.

“Sistem kerajaan diserang beribu kali sehari. Matlamat kami ialah menghalang agar setiap serangan yang dilakukan, tidak berhasil. Sekiranya kami mendapati berlaku pencerobohan, kami akan segera memulihkannya kembali, menambah baik sistem kami dan memaklumkan kepada mereka yang terjejas oleh perbuatan itu.

“Itulah yang kami lakukan dalam kes ini. Kami tidak boleh kembali menggunakan rekod dalam bentuk kertas dan fail. Kami perlu melangkah ke hadapan untuk membina sebuah negara yang selamat dan pintar,” tulis Lee yang diakhiri dengan parap beliau, LHL. — Bernama