Pertubuhan hak asasi dan sarjana seluruh dunia menggesa China membebaskan segera seorang profesor dari etnik minoriti Uyghur, Ilham Tohti, yang ditahan sejak lima tahun lalu.

Antara yang membuat gesaan itu adalah Amnesty International, ChinaChange, CSW, Free Tibet, Frontline Defenders dan Ilham Tohti Initiative.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka turut menggesa pembebasan sarjana lain yang telah sewenang-wenangnya ditahan rejim republik komunis itu.

Pada Julai 2009, Tohti ditangkap dan dihukum penjara sejurus selepas rusuhan Urumqi oleh pihak berkuasa kerana kritikan beliau terhadap dasar kerajaan China ke atas etnik muslim Uyghur di Xinjiang.

Beliau kemudiannya dibebaskan, namun dipenjarakan sekali lagi pada Januari 2014.

Tohti adalah seorang ahli ekonomi, penulis dan profesor Uyghur, mengasaskan laman web Uighurbiz.net pada tahun 2006 untuk mempromosikan perdamaian antara etnik Uyghur dan Han China, tetapi ditangkap semula pada 15 Januari 2014.

Beliau selama beberapa tahun mengkritik dasar yang menindas etnik Uyghur, dan menulis secara mendalam mengenai pendekatan yang membina untuk mengatasi layanan yang tidak sama rata antara kumpulan etnik.

Bagaimanapun, sejak Disember 2014 Prof Ilham dikenakan hukuman penjara seumur hidup di Penjara No 1 Urumqi.

Pergerakan ChinaChange melaporkan, Tohti ditahan dalam kurungan bersendirian sehingga sekurang-kurangnya pada awal 2016 dan telah dinafikan hak untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan.

Pergerakan juga melaporkan bahawa anak perempuan Tohti berusia 25 tahun dari Atush dijatuhi hukuman sehingga 10 tahun penjara pada awal 2016 kerana memiliki gambar bapanya dan dua artikel oleh Radio Free Asia di dalam telefon bimbitnya.

Sementara itu, tujuh pelajarnya, Perhat Halmurat, Shohret Nijat, Luo Yuwei, Mutellip Imin, Abduqeyum Ablimit, Atikem Rozi dan Akbar Imin turut dipenjarakan atas tuduhan separatisme, tetapi tempat dan keadaan mereka tidak diketahui.

China dilaporkan melakukan pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang, mendera tahanan etnik muslim Uyghur dan mengawal agama dan budaya mereka secara ketat.

Walaupun dikecam hebat beberapa kumpulan hak asasi manusia dan kerajaan luar, Beijing menafikan tuduhan yang mereka melakukan pelanggaran hak penduduk Islam Xinjiang, dengan alasan ia adalah tindakan tegas untuk mengekang kumpulan pelampau dan pemisah di wilayah itu. – Agensi