Dua kapal perang Amerika Syarikat belayar di Selat Taiwan semalam, kata jurucakap tentera, dalam langkah yang membangkitkan kemarahan China di tengah ketegangan hubungan dengan Beijing.

USS Curtis Wilbur dan USS Antietam melakukan persinggahan rutin untuk menunjukkan komitmen AS kepada ‘Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka’, kata Kolonel Rob Manning, kepada wartawan pada taklimat akhbar.

Ia adalah kali kedua dalam masa tiga bulan kapal perang AS mengadakan apa yang dikatakan ‘kebebasan belayar’ di kawasan perairan seluas 180 kilometer itu.

Beberapa kapal perang China membayangi dua kapal tempur AS itu ketika persinggahan, mengikutnya pada jarak selamat.

China masih melihat Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya yang menunggu masa untuk disatukan, walaupun kedua-dua pihak mentadbir secara berasingan sejak perang saudara di tanah besar berakhir pada 1949.

Beijing, baru-baru ini mengadakan siri latihan tentera, termasuk menggunakan peluru hidup di Selat Taiwan April lalu, mengisytiharkan kesediaan berhadapan ‘tentera kemerdekaan’ Taiwan.

– Harian Metro