2019 akan menjadi tahun yang amat mencabar, lebih-lebih lagi dengan ketegangan yang masih berterusan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menurut Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Bunn Nagara menerusi penulisannya berjudul “Keeping The World On Edge”, penganalisis serta penggubal dasar tidak lagi yakin dengan prospek perjanjian dagang yang berjaya dan berkekalan di antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu.

Hubungan AS-China merangkumi pelbagai aspek dan peringkat, dan perdagangan hanya salah satu daripadanya.

Kedua-dua negara itu juga adalah kuasa strategik yang terbesar di dunia, di mana perseteruan di antara mereka dijangka akan terus menjadi semakin tegang.

Sekiranya perjanjian perdagangan dapat dicapai sekali pun, ketegangan perseteruan AS-China sebagai kuasa global yang semakin meningkat masih akan mencetuskan perselisihan dalam perkara-perkara lain.

Sesetengah penganalisis melihat persaingan ini sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan ia bukan sahaja akan membawa kepada perang dagang, tetapi juga “perang dingin” yang baru.

Difahamkan, AS telah menjadi kuasa besar global yang tidak dapat ditandingi selama tujuh dekad dan ia secara jelas berhasrat untuk terus mengekalkan kedudukannya itu tanpa dicabar oleh mana-mana kuasa lain.

Malah, doktrin keselamatan negaranya juga tidak membenarkan atau menerima mana-mana negara untuk mencabar kedudukan mereka walaupun sedikit.

Pada pandangan Trump, penasihat-penasihat rapat serta ramai penyokongnya, China adalah cabaran yang hebat, dan juga ancaman.

Mentaliti “Perang Dingin” AS yang masih berterusan sehingga ke hari ini juga menganggap China sebagai ancaman terbesarnya di dalam abad ke-21.

Dalam pada itu, personaliti Trump dan Presiden China, Xi Jinping yang berlandaskan ego dan maruah lebih cenderung untuk membawa kepada lebih banyak perselisihan berbanding kerjasama.

Trump merupakan seorang presiden yang tidak mempunyai sebarang pengalaman politik mahupun perkhidmatan awam, dan sepanjang hidupnya, beliau adalah seorang bos dalam perniagaan.

Dalam pentadbiran AS kali ini, beliau juga dilihat lebih sebagai seorang bos, dan ini amat berbeza dengan realiti seorang pemimpin yang berkhidmat demi kepentingan negara.

Tingkah laku Trump di dalam politik turut mendatangkan masalah kepada ramai pihak yang dilihat ‘tidak bersedia’ dengan cara kepimpinannya.

Semakin banyak presiden itu dikritik, semakin banyak beliau memberi ‘serangan balas.’