Beijing: Kapal Angkasa milik China, Chang’e-4 mencipta sejarah apabila menjadi kapal angkasa pertama berjaya mendarat di pinggir permukaan bulan semalam, lapor penyiar rasmi CCTV.

Chang’e-4 yang terdiri daripada pendarat lunar dan perayau enam roda itu mendarat pada jam 10.26 pagi (waktu Beijing) dan mula menghantar gambar sisi gelap bulan ke satelit Queqiao.

Satelit berkenaan akan menjadi penghubung komunikasi di antara pengendali di Bumi dengan pinggir permukaan bulan, kata agensi angkasa kebangsaan China di laman webnya.

Beijing membelanjakan berbilion yuan untuk program angkasa lepas dikendalikan tenteranya, dengan harapan mampu menjalankan stesen angkasa lepas dengan anak kapal menjelang 2022 seterusnya menghantar orang ke bulan.

Misi Chang’e-4 itu, yang dinamakan sempena dewi bulan dalam mitos China, dilancarkan Disember lalu dari Xichang. Ia perayau kedua mendarat di bulan, selepas misi Yutu (Arnab Jed) pada 2013.

Berbeza dengan sisi cerah bulan yang mempunyai banyak permukaan rata untuk mendarat, sisi gelapnya bergunung dan berceranggah.

Bulan ‘terikat’ dengan Bumi menyebabkan permukaan sama sentiasa menghadap planet itu.