CEO kolej agama di Perlis tamat kontrak kerana tak gemar fahaman Wahabi?

Seorang ahli akademik yang mengetuai sebuah kolej milik kerajaan Perlis dikatakan tidak disambung kontraknya kerana pendekatan beliau yang dilihat tidak sealiran dengan fahaman Salafi, ditambah dengan penglibatannya menganjurkan sebuah persidangan anti-keganasan yang mengkritik puak Wahabi.

Wahabi, atau nama yang diberikan kepada golongan yang mengaku mengikut ajaran Salafi, sering dikaitkan dengan pihak berkuasa agama di Perlis, termasuk muftinya, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, walaupun ia dinafikan beliau.

Sumber berkata kontrak Mohd Mizan Mohammad Aslam, yang merupakan presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), tidak disambung kerana pendekatan beliau yang lebih terbuka dalam amalan Islam, di samping pandangannya yang banyak bercanggah dengan fahaman Wahabi.

KUIPs, yang ditubuhkan di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), menyewa sebuah bangunan milik majlis agama itu di Padang Besar dan Kuala Perlis.

Sumber berkata Mizan memberi kebebasan kepada penuntut KUIPs, yang berjumlah hampir 900 termasuk sebahagian kecil warga asing, mengamalkan beberapa perkara ibadah yang dianggap agamawan negeri sebagai menjurus kepada bid’ah.

Ia termasuklah program bacaan Surah Ya Sin, berdoa beramai-ramai, dan berwirid, antara amalan yang dianggap bid’ah oleh ulama Wahabi.

“Apa yang dilakukan Mizan hanyalah memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengamalkan cara ibadah mereka sendiri,” kata sumber yang rapat dengan beberapa ahli akademik dan agamawan di negeri itu.

Menurutnya, Mizan hanya memenuhi sebuah kenyataan Asri selaku mufti Perlis, di mana beliau berkata negeri itu tidak berpegang kepada mana-mana fahaman mazhab dan menafikan ia berada di bawah pengaruh Wahabi.

“Tetapi ada orang yang semacam tidak senang dengan apa yang dilakukan Mizan,” katanya, walaupun enggan menyatakan siapa orang yang dimaksudkan.

FMT menghubungi Asri mengenai perkara itu, tetapi masih belum mendapatkan respon.

Kebanyakan masjid di Perlis yang di bawah kawalan Majlis Agama Islam negeri itu dikatakan dipengaruhi fahaman Wahabi, ajaran yang menjadi ikutan rasmi di Arab Saudi tetapi dikritik oleh sebahagian besar ulama Sunni disebabkan pendekatannya yang keras dan harfiah (literal).

Menurut sumber yang sama, apa yang berlaku terhadap Mizan bukan sesuatu yang di luar kebiasaan di Perlis.

“Banyak penjawat berkait urusan agama di Perlis sebenarnya dikehendaki mengikut cara mufti, jika tidak, akan berdepan tindakan,” katanya.

Sumber memaklumkan, kemuncak rasa tidak senang pimpinan Islam di Perlis terhadap Mizan ialah apabila beliau terlibat dalam penganjuran “Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi (ICOD) 2018 – Strategi Menstruktur Semula Radikalisasi Dalam Melawan Keganasan”, pada 15 Mac lalu.

Peranan Mizan dalam penganjuran persidangan itu dipercayai berkait dengan tugasnya sebagai pegawai yang dilantik Kementerian Dalam Negeri untuk memulihkan tahanan IS.

“Maka beliau tidak dapat lari daripada bekerjasama dengan Zamihan Mat Zin,” kata sumber, merujuk pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditugaskan Jabatan Penjara dalam program pemulihan suspek keganasan.

Katanya lagi, keadaan itu menyebabkan bertambahnya rasa tidak senang terhadap Mizan.

Zamihan dan Asri merupakan seteru kuat, dan kedua-dua mereka melemparkan pelbagai tuduhan antara satu sama lain.

Sumber berkata alasan yang diberi dalam tidak menyambung kontrak Mizan termasuk kerana beliau didakwa tidak mengamalkan “Sunnah Perlis”, istilah yang merujuk kepada fahaman Wahabi.

Pengganti Mizan dikatakan seorang “proksi” Asri, tetapi pelantikan itu didakwa bertentangan dengan keputusan ahli lembaga kolej.

Mizan kini dipindahkan ke Universiti Malaysia Perlis sebagai pensyarah biasa.

– FMT