Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam, berkata cadangan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa Eropah patut menubuhkan tentera sendiri sebagai perlindungan daripada musuh termasuk AS sebagai ‘penghinaan’.

“Amat menghina, mungkin Eropah patut membayar sumbangannya kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terlebih dahulu yang banyak ditaja AS,” kata Trump menerusi Twitter, ketika tiba di Perancis untuk bertemu Macron.

Selasa lalu, Macron berkata, Eropah memerlukan tentera sebenar untuk mengurangkan kebergantungan kepada AS dalam bidang pertahanan.

“Kita perlu melindungi diri sendiri daripada China, Russia dan termasuk AS,” kata Macron di radio Perancis, menurut Wall Street Journal. – Harian Metro