Tentera Israel menafikan tuduhan menembak mati seorang budak lelaki Palestin ketika menyuraikan tunjuk perasaan di sempadan Gaza pada Jumaat.

Sebaliknya, jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, mangsa dikenali sebagai Shadi Abdel Aal meninggal dunia akibat terkena batu yang dilempar penunjuk perasaan.

IDF juga mahu pergerakan Hamas bertanggungjawab di atas kematian budak lelaki berusia 12 tahun itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdel Aal ditembak oleh penembak tepat Israel di timur Jabaliya.

“Timbul banyak keraguan dan kredibiliti Kementerian Kesihatan Gaza boleh dipersoalkan mengenai punca kematian mangsa.

“Saksi di tempat kejadian berkata, budak itu mati terkena batu yang dilempar penunjuk perasaan,” kata Majer Avichai Adraee.

Abdel Aal antara tiga mangsa yang ditembak mati Israel semasa pertempuran di sepanjang pagar sempadan Gaza yang menyaksikan ratusan lagi cedera.

Sejak 30 Mac lalu, ribuan rakyat Palestin mengadakan protes di sempadan Gaza menuntut hak untuk pulang ke kampung halaman yang dirampas Israel semasa Peristiwa Nakba pada 1948.

– SH/Jerusalem Post