BTN dan PLKN dimansuhkan serta merta

Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimansuhkan serta merta.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, susulan pemansuhan itu, satu program baharu dibentuk.

“Pemansuhan ini di susuli dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa hadapan (Youth of the Future) yang berwawasan dan tinggi nilai jati dirinya,” katanya dalam sidang medianya di Parlimen, hari ini.

Memperincikan perihal ini, Saddiq berkata, program baharu ini yang diuruskan oleh kementeriannya akan membuat penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan BTN.

“Dalam pada itu program 1Malaysia For Youth (iM4U), yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri kini di bawah KBS,” katanya

Jelasnya, keputusan berhubung perkara ini telah diputuskan oleh kabinet menerusi mesyuarat mereka yang lepas.

“Kerajaan baharu berhasrat nak lahirkan belia berwawasan untuk pastikan kepemimpinan muda dapat diperkasakan.

“Dan ada proses latihan yang agak rapi supaya pemimpin muda daripada pelbagai bangsa, agama, waima fahaman politik sekalipun akan dilatih dan diberikan tempat akhirnya kita dapat lahirkan belia yang wawasan,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai nasib pekerja BTN dan JLKN susulan pemansuhan ini, Syed Saddiq berkata mereka akan meneruskan kerja mereka seperti biasa dan tidak akan timbul isu pemberhentian kerja.

 “Mereka ini akan diletakkan di bawah KBS dengan bajet sedia ada, yang diperuntukkan kepada BTN dan JLKN ini,” katanya.

SH