KUANTAN: Bendahari Agung PKR yang baru dilantik Lee Chean Chung meminta semua yang berkenaan memberi ruang secukupnya kepada Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencorak kepimpinan PKR mengikut acuan tersendiri.

Sambil menggesa semua pihak menghormati keputusan Anwar berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat, Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, berkata beliau secara peribadi melihat pelantikan yang dibuat Presiden PKR itu bersifat menyeluruh tanpa memihat mana-mana ‘kem’.

“Kita kena matang dalam perkara ini. Cukuplah membuat komen atau meluahkan perasaan kerana musim pemilihan dan pilihan raya sudah berlalu dan sekarang adalah masa kita bekerja,” katanya selepas melancarkan projek #KuantanBookExchange atau #KUBE di kedai Gunteng Barbershop di Indera Mahkota di sini, semalam.

Lee mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama parti yang pada pandangannya tidak mencerminkan prinsip ‘perwakilan yang adil dan saksama’.

Ditanya mengenai pelantikannya sebagai bendahari agung, Lee berkata beliau tidak menyangka diberi kepercayaan untuk memegang jawatan itu memandangkan pada usia 37 tahun beliau boleh dianggap ‘terlalu muda’ untuk menjawat jawatan berkenaan berbanding penyandang-penyandang terdahulu.

Katanya pelantikan beliau juga memecah tradisi kerana selain faktor usia, mereka yang dilantik ke jawatan itu sebelum ini adalah anggota Parlimen.

Berhubung program #KuantanBookExchange atau #KUBE, Lee berkata program yang dimulakan dua tahun lalu itu membolehkan rak buku diletakkan di lokasi strategik di sekitar daerah ini bagi menggalakkan budaya membaca khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya setakat ini terdapat lima lokasi iaitu di Pusat Khidmat DUN Semambu, dua buah kafe dan dua buah kedai gunting yang mengambil bahagian dengan sebilangan besar buku disumbangkan oleh masyarakat atau penerbit buku.

“Selain untuk dibaca di lokasi itu sendiri, mereka boleh menukar buku yang diminati dengan buku sendiri bawah penyeliaan pemilik kedai kerana kita tidak menerima buku teks, komik, majalah atau panduan pelancongan,” katanya.

Lee berkata program itu juga mendapat kerjasama Perpustakaan Awam Pahang dan mereka yang berminat untuk menyertainya atau menyumbang buku boleh menghubungi penyelaras projek Phang Shee Lim di talian 016-9154400. — Bernama