Bekas perdana menteri Bangladesh dipenjara kerana rasuah

BEKAS Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, telah didapati bersalah atas satu kesalahan rasuah dan dihukum penjara lima tahun, lapor agensi berita China Xinhua.

Hakim Mahkamah Khas, Md Akhtaruzzaman, menjatuhi hukuman itu bersama-sama penghakiman setebal 632 muka surat pada petang Khamis di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.

Mahkamah itu turut menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas lima individu lain termasuk anak lelaki Zia, Tarique Rahman.

Menteri Undang-Undang Anisul Haq memberitahu pemberita bahawa “beliau (Zia) akan meringkuk dalam penjara hari ini.”

Beliau berkata Zia boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung berhubung keputusan itu.

Zia dan lima yang lain termasuk anak lelakinya, Tarique, telah didakwa menggelapkan lebih 20 juta taka (AS$253,164) sumbangan asing untuk Tabung Amanah Anak-Anak Yatim Zia dari tahun 2001 hingga 2006, ketika beliau menjadi perdana menteri. – Bernama, 8 Februari, 2018.

%d bloggers like this: