Bekas pelajar tembak mati 17 orang di sekolah tinggi Florida

Seorang lelaki bersenjata berusia 19 tahun pergi ke sebuah sekolah tinggi Florida di mana dia pernah dipecat atas sebab-sebab disiplin dan melepaskan tembakan semalam, yang membunuh 17 orang sebelum dia ditangkap oleh polis, kata pihak berkuasa.

Keganasan itu berlaku di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, kira-kira 72km di utara Miami. Siarantelevisyen menunjukkan para pelajar bergegas keluar dari bangunan itu ketika berpuluh anggota polis dan kakitangan kecemasan berkejar ke situ.

Lelaki bersenjata itu dikenalpasti sebagai Nikolaus Cruz, yang pernah belajar di sekolah itu dan dipecat atas sebab-sebab disiplin yang tidak jelas, kata Sherif Broward County, Scott Israel dalam satu taklimat media beberapa jam kemudian.

“Ini keadaan yang mengerikan,” kata Penguasa Sekolah Broward County, Robert Runcie kepada pemberita secara berasingan.

Lelaki bersenjata itu menyerah diri kepada polis, kata Israel. Penyiasat percaya dia bersenjatakan senapang seperti rifel AR-15 dan mempunyai banyak kopak peluru, menurut sheriff.

“Ia satu bencana,” kata Israel. “Tidak ada kata-kata (untuk menggambarkannya).”

Dua belas orang terbunuh di dalam sekolah, dua lagi di luar, seorang di jalan dan dua mangsa lain meninggal di hospital akibat kecederaan, kata Israel. Beliau berkata mangsa terdiri daripada pelajar dan orang dewasa.

Insiden berdarah pada Hari Valentinedi pinggir bandar Miami itu adalah keganasan terbaru yang telah menjadi kebiasaan di sekolah dan kampus kolej di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia adalah insiden tembakan ke-18 di sekolah AS setakat ini tahun ini, kata kumpulan kawalan senjata – Alltown for Gun Safety.

Jumlah itu termasuk insiden bunuh diri dan insiden di mana tidak ada yang cedera, serta insiden tembakan pada bulan Januari di mana seorang lelaki bersenjata berusia 15 tahun membunuh dua rakan pelajar di sekolah menengah Benton, Kentucky.

sumber – malaysiakini

%d bloggers like this: