BDS MALAYSIA INGIN MENYUARAKAN RASA TERKEJUT DAN KECEWA DENGAN BERITA BERKENAAN LAWATAN OLEH PERWAKILAN DARI REJIM HARAM ISRAEL

BDS MALAYSIA INGIN MENYUARAKAN RASA TERKEJUT DAN KECEWA DENGAN BERITA BERKENAAN LAWATAN OLEH PERWAKILAN DARI REJIM HARAM ISRAEL KE PERSIDANGAN KE-9 PROGRAM PENEMPATAN MANUSIA PBB YANG DIADAKAN DI KUALA LUMPUR BARU-BARU INI. BERITA INI ADALAH AMAT MENYEDIHKAN DAN MENGECEWAKAN MEMANDANGKAN SELURUH DUNIA MENGETAHUI BAHAWA REJIM ISRAEL TELAH BERKALI-KALI MELANGGAR RESOLUSI DAN PERATURAN PBB SENDIRI KERANA POLISINYA MENGGALAKKAN PERTUMBUHAM PENEMPATAN HARAM DI KAWASAN YANG DIRAMPAS DARI RAKYAT PALESTIN.

Kehadiran perwakilan dari rejim Israel di Malaysia ini juga adalah sangat mengejutkan memandangkan hanya beberapa minggu lepas kerajaan Malaysia telah menganjurkan satu demonstrasi besar-besaran di Putrajaya di mana Perdana Menteri Najib telah dengan lantang menegaskan polisi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka menentang kezaliman Israel. Bukan sahaja keputusan kerajaan Malaysia membenarkan kehadiran perwakilan Israel ini sangat membingungkan, bahkan ia juga menimbulkan tanda-tanya kepada kita iaitu, “Adakah kerajaan Malaysia betul-betul serius dalam pengisytiharannya mempertahankan hak rakyat Palestin atau hanya berpura-pura?”

Apa yang telah berlaku membuat ramai akan terpaksa menyimpulkan bahawa kenyataan lantang kerajaan Malaysia adalah sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanya laungan kosong atau retorik politik semata-mata dan oleh itu tidak mempunyai makna langsung.

Kini kerajaan dan media Israel telah mengisytiharkan kehadiran perwakilan mereka di Malaysia sebagai satu kejayaan ke arah menjalin hubungan antara Israel dan Malaysia. Wakil Israel, David Roet juga sekarang giat memaklumkan kepada umum melalui media sosial betapa Israel telah mendapat manfaat yang banyak dari lawatan dan kehadiran mereka ke Malaysia.

Selama ini Malaysia adalah satu-satunya negara yang tegas menolak sebarang hubungan diplomatik dengan Israel atas alasan yang sangat kukuh iaitu pencabulan hak asasi rakyat Palestin oleh Israel. Oleh itu kami menyeru kerajaan untuk terus berpegang teguh dengan pendirian yang amat terpuji tersebut.

Kami juga menyeru kerajaan Malaysia agar mengambil tanggungjawab di atas apa yang telah berlaku dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap semua pihak yang telah terlibat secara langsung dengan insiden pelanggaran pendirian kerajaan ini.

Kami juga menggesa kerajaan Malaysia untuk meminta maaf kepada rakyat Palestin atas kejadian pengkhianatan yang serius ini dan juga berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan besar ini di masa akan datang.

Kami juga menjemput kerajaan Malaysia untuk berjuang bersama dengan gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) untuk memberi tekanan yang konkrit dan lebih bermakna terhadap Israel dengan memboikot negara tersebut serta institusi dan wakilnya. Kami juga menggesa kerajaan supaya bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat yang membantu kezaliman Israel melalui penglibatan mereka dalam aktiviti pengembangan penempatan haram dan pemusnahan rumah serta harta benda rakyat Palestin.

Akhir sekali kita semua mesti menerima hakikat bahawa apa yang telah berlaku adalah satu pengkhianatan yang sukar dimaafkan. Oleh itu kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah yang dapat menebus pengkhianatannya terhadap rakyat Palestin yang selama ini memandang Malaysia sebagai pembela utama perjuangan mereka.

%d bloggers like this: