Bayar gaji tahanan Palestin, Israel denda PA

Israel menguatkuasakan undang-undang mendenda pihak berkuasa Palestin (PA) kerana membayar gaji kepada penduduk yang dipenjarakan tenteranya, keluarga mereka dan keluarga yang dibunuh rejim Zionis itu, lapor Reuters.

Parlimen dengan 120 kerusi itu mengundi 87 memihak berbalas 15 menentang menyokong undang-undang yang mengarahkan penahanan sebahagian daripada hasil cukai kasar sebanyak AS$130 juta (RM526.37 juta) yang dikutip Israel bagi pihak Palestin setiap bulan mengikut perjanjian damai sementara.

PA yang disokong Barat diketuai Presiden Mahmoud Abbas mempunyai kuasa terhad di wilayah diduduki Tebing Barat di mana Israel memiliki kawalan penuh keselamatan.

Rakyat Palestin menuntut sebuah negara di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Sementara Hamas, lawan sekular Fatah pimpinan Abbas, mengawal Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali menuntut rakyat Palestin, yang menganggap tahanan sebagai wira negara, berhenti membayar gaji kepada mereka dan keluarga.

Awal tahun ini, pembuat dasar Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan undang-undang mengurangkan secara drastik dana bantuan tahunan bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) kepada PA kecuali ia mengambil langkah menghentikan pembayaran itu yang disifatkan pembuat dasar ganjaran terhadap jenayah ganas.

Langkah itu, dikenali sebagai Akta Penguatkuasaan Taylor, dinamakan sempena veteran tentera AS berusia 29 tahun yang ditikam penduduk Palestin ketika melawat Israel pada 2016.

Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman menulis di Twitter selepas undian: “Kami berjanji menghentikan gaji percuma untuk semua pejuang dan kami melunaskan janji itu. Ia sudah berakhir. Setiap shekel Abu Mazen (Abbas) akan bayar kepada pengganas dan pembunuh, secara automatik akan ditolak daripada bajet PA.”

sumber – BHOnline