Bantuan kemanusiaan kepada Gaza tak dibayar dengan politik

Bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tidak akan dibayar dengan pengorbanan politik, kata pemimpin kanan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh.

“Gaza dalam usaha untuk menamatkan sekatan. Terima kasih atas pendirian kukuh anda. Tidak ada harga politik yang perlu dibayar bagi bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza,” katanya dalam ucapan Aidiladha, semalam.

Katanya, sekatan berabad lamanya yang dikenakan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza bakal berakhir, tatkala perbincangan intensif diadakan kedua-dua pihak yang ditaja Mesir.

Beliau bagaimanapun, tidak secara langsung menyatakan kemungkinan satu perjanjian dicapai antara kedua-dua pihak, sebagaimana digembar-gemburkan media Israel dan Palestin sejak lebih seminggu lalu.

“Terima kasih kerana menyertai perhimpunan – merujuk kepada Great March of Return yang diadakan di sempadan Gaza-Israel sejak 30 Mac lalu. Kami sudah menghampiri keputusan menamatkan sekatan itu,” katanya.

Sejak Mac lalu, tunjuk perasaan diadakan setiap hari berdekatan pagar sempadan Gaza-Israel, bagi membantah sekatan dikenakan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza, serta menegakkan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan hak rakyat Palestin pulang ke kampung dan tanah mereka yang dirampas sejak 1948.

Bagaimanapun, rejim pengganas Israel bertindak balas terhadap tunjuk perasaan itu dengan menembak mati 170 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 18,000 yang lain.

Haniyeh berkata, satu perjanjian akan dibuat dengan mendapat konsensus jaringan negara-negara Arab dalam usaha menjaga keselamatan terhadap apa yang dipersetujui dalam perjanjian itu.

Haniyeh berkata, sebarang persetujuan mengenai rundingan dengan Israel akan mengambil kira kepentingan setiap warga Palestin.

“Sebarang persetujuan hanya mungkin dengan persefahaman nasional dan sejajar dengan kepentingan Arab untuk menjamin pelaksanaan syarat-syarat yang dipersetujui. Kami semakin hampir menamatkan sekatan tidak adil ke atas Gaza,” katanya.

IsmaWeb