Bangladesh akan menutup kem pelarian yang menempatkan kira-kira sejuta Muslim Rohingya selama tiga hari sempena pilihan raya umum negara itu minggu ini, kata pihak berkuasa.

Etnik minoriti dari Myanmar yang tinggal di sempadan tenggara daerah ini tidak akan dibenarkan keluar dari penempatan mereka bermula Sabtu.

Pilihan raya diadakan Ahad ini dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang menerima pujian antarabangsa kerana menerima pelarian yang lari daripada tindakan keras tentera di Myanmar, mencipta rekod penggal keempat pemerintahan jika menang.

Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu mengarahkan pihak berkuasa di daerah ini menghalang pelarian daripada dieksploitasi ketika kempen pilihan raya.

“Ini adalah langkah keselamatan. Embargo juga terpakai kepada pekerja NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Mereka tidak boleh masuk ke dalam kem kecuali ia satu kecemasan,” katanya.

Polis berkata, tambahan sekatan jalan akan diwujudkan di sekitar kem pelarian.

Lebih 720,000 Muslim Rohingya lari daripada apa yang digelar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik di Rakhine, Myanmar selepas 25 Ogos 2017. Kem itu menempatkan hampir 300,000 pelarian dalam persekitaran amat sesak.

Lebih 450 polis akan dihantar dalam kem bersama pengawal sempadan dan polis masyarakat, kata seorang jurucakap.

Ribuan askar juga diletakkan untuk menjalankan tugas ketenteraman dan undang-undang di seluruh negara hari ini di tengah peningkatan keganasan pilihan raya, kata satu kenyataan tentera.

Laporan media berkata, kira-kira 30,000 tentera menyertai lebih 20,000 pasukan separa tentera yang sudah dihantar.

Sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam keganasan pilihan raya sementara pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berkata, sekurang-kurangnya 152 calonnya diserang.

BNP sementara itu mengkritik bintang kriket Bangladesh, Mashrafe Mortaza kerana menjadi calon Liga Awami yang memerintah.

“Kami mengalu-alukan golongan muda sepertinya menyertai politik, namun undang-undang tidak berbeza untuk seorang bintang dan orang awam.

“Mashrafe adalah pemain kriket berbayar Lembaga Kriket Bangladesh (BCB), sebuah badan kerajaan, justeru kami membantah penyertaan beliau dalam pilihan raya apabila kami melihat orang kami digugurkan atas alasan tidak wajar,” kata jurucakap pembangkang Rizvi Ahmed.

Undang-undang Bangladesh melarang kakitangan awam bergaji daripada bertanding pilihan raya. Beberapa calon pembangkang digugurkan kerana bertugas dalam kerajaan. Mashrafe menerima bayaran 420,000 taka (RM20,863.32) sebulan daripada BCB. – AFP