Pasukan keselamatan Bangladesh menghalang 30 pelarian Rohingya daripada diseludup ke Malaysia dengan bot, kata pegawai hari ini, ketika kebimbangan meningkat laut tenang mungkin menarik mereka yang tinggal di kem sesak untuk ke negara itu.

Dua suspek penyeludup manusia ditahan dalam operasi oleh Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) di daerah Cox’s Bazar lewat semalam.

Seramai 17 wanita, enam kanak-kanak dan tujuh lelaki ditahan di pantai berhampiran Teknaf, yang bersempadan dengan negeri Rakhine, kata BGB.

Ini adalah kali ketiga sejak November lalu pelarian Rohingya dipintas ketika cuba melarikan diri ke Malaysia dengan bot.

Beberapa bot turut dipintas ketika cuba meninggalkan Myanmar.

Jurucakap BGB, Leftenan Kolonel Asadud Chowdhury, berkata 30 pelarian itu diperdaya penyeludup manusia yang beroperasi di kem pelarian di Cox’s Bazar.

Katanya, pelarian berkenaan yang membuat bayaran AS$1,000 (RM4,000) untuk ‘laluan selamat’ ke Malaysia, akan dihantar balik ke kem.

Seorang daripada wanita dalam kumpulan itu berkata, beliau mahu ke Malaysia untuk ‘berkahwin’ dengan lelaki Rohingya yang tidak pernah ditemuinya.

“Bapa saudara saya membayar untuk perjalanan ini.

“Bakal suami akan bertemu saya sebaik saya sampai di Malaysia,” katanya yang enggan dikenali.

Ada kebimbangan keadaan cuaca yang semakin baik mendorong Rohingya diperdaya penyeludup untuk meninggalkan kem di Bangladesh dan melakukan pelayaran bahaya dengan bot ke Malaysia.