‘Balik bertandinglah Robert Kuok, jangan jadi pondan’

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mencabar orang paling kaya di Malaysia Tan Sri Robert Kuok untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ia ekoran dakwaan artikel penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang menuduh hartawan itu menyumbang dana kepada DAP dalam usaha parti itu menewaskan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Sehubungan itu, Nazri yang merupakan menteri pelancongan dan kebudayaan menggesa Kuok agar tidak menjadi ‘pondan’ dan ‘ayam betina’ kerana berselindung di Hong Kong dan memberi dana kepada DAP.

“Saya cabar dia bertanding di sini dekat Malaysia, berkempen secara halal dan lawan kita (BN).

“Dia tak payah jadi pondan, ayam betina hanya tahu berselindung di sebalik dinding dekat Hong Kong sana,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Nazri menyifatkan Kuok sebagai seorang yang pengecut kerana tidak berani bersemuka melawan BN.

Beliau mengulas artikel penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang menuduh hartawan itu menyumbang dana kepada DAP dalam usaha parti itu menewaskan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Lawan BN secara berdepan…Anda penakut dan tiada telur hanya bersembunyi di luar negara dan taja DAP untuk melawan BN.

“Sertai politik dan jangan hanya jadi penakut dengan hanya memberi dana kepada DAP. BN menerima cabaran anda,” kata anggota parlimen Padang Rengas seperti dipetik akhbar China Press.

Bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Padang Rengas, beliau juga menggesa Kuok agar melepaskan taraf kerakyatannya.

Dua artikel yang diterbitkan laman web Malaysia Today sebelum ini mendakwa Kuok menjadikan anak saudaranya, James Kuok, sebagai perantara dengan DAP dan menerbitkan gambar pertemuan James dengan sejumlah pemimpin DAP.

James Kuok menafikan tuduhan itu manakala pemimpin DAP Lim Kit Siang berkata tidak pernah mendapat walau satu sen pun daripadanya.

Utusan Malaysia pula melaporkan Nazri menggelar Kuok sebagai bongkak dan lupa jasa kerajaan yang menaikkkannya daripada bawah sehingga menjadi jutawan terkenal hari ini.

“Dia seorang yang sombong, bongkak dan kini tinggal pula di luar negara dan mengutuk negara sendiri.

“Dia cuba memecahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu,” katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno seperti dipetik.

Dua hari selepas terbitnya artikel di Malaysia Today itu, sejumlah pemimpin kerajaan membidas Kuok termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang berkata kejayaan yang dikecapi Kuok hari ini adalah kerana kerajaan memberikan peluang kepadanya untuk memonopoli industri beras dan gula.

Namun dua pemimpin BN berbeza pandangan, iaitu Tan Sri Shahrir Samad yang menyifatkan Kuok sebagai peniaga yang tidak masuk campur dalam politik dan Datuk Seri Wee Ka Siong yang menyifatkan dakwaan Malaysia Today sebagai putar belit dan tiada bukti.

sumber – MalaysiaKini

%d bloggers like this: