Baitulmaqdis: Pemimpin Arab kaya-raya tapi miskin jiwa, kata Hadi

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mengkritik pemimpin dunia Islam, khususnya di Timur Tengah, yang menurutnya bersekongkol dengan Israel dalam isu Baitulmaqdis.

“Ada pemimpin Arab yang kaya raya tapi miskin jiwa, bertindak memujuk rakyat Palestin menyerahkan Baitulmaqdis kepada Yahudi tetapi umat Palestin menolak tawaran ini.

“Orang Islam mesti menyedari Baitulmuqaddis milik umat Islam. Tawaran berbilion dolar kepada pemimpin Palestin diberikan tapi sejahil orang Islam mereka tidak menerimanya dan tak mudah tunduk kepada Israel,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan yang hadir pada Himpunan Munajat MyAQSA di Dataran Putrajaya, semalam.

Nak mengundi atau tak nak mengundi?

Beliau yang juga presiden PAS berkata, Palestin tidak akan terlepas kepada Israel jika umat Islam bersatu.

Sebelum ini, beliau telah mengkritik kegagalan pemimpin tertinggi dunia Islam pada persidangan sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki Disember lalu susulan pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menurut laporan laman Middle East Monitor, hanya 16 daripada 57 negara anggota OIC yang diwakili pemimpin tertinggi manakala kebanyakannya menghantar pegawai yang berpangkat lebih rendah.

Walaupun dengan kegagalan pemimpinnya, Abdul Hadi berkata perjuangan untuk rakyat Palestin dan Baitulmaqdis akan terus ada dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia.

“Perjuangan untuk Palestin dan Baitulmuqaddis tetap ada dalam jiwa umat Islam seluruh pelusuk dunia, mereka ada di bawah satu jasad dan tidak mungkin mudah dicincang.

“Ketahuilah, Israel tidak akan boleh membunuh semangat umat Islam yang jumlahnya (ibarat) kepala di Baitulmuqaddis dan ekornya dari Morocco (Maghribi) hingga ke Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Bukan bertujuan politik

Selain himpunan semalam, turut diadakan adalah Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis yang bermula 26 Januari lalu dan berakhir semalam, disertai lebih 100 agamawan dari 30 negara

Ia bertujuan memutuskan resolusi yang akan diangkat menjadi fatwa baru berhubung isu Baitulmaqdis bagi diserahkan kepada ketua-ketua negara Islam dunia untuk tindakan lanjut.

Hadir sama dalam himpunan semalam adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil menerusi ucapannya berkata himpunan malam ini merupakan kemuncak bagi umat Islam di Malaysia untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin.

“Kehadiran kita malam ini bukan hanya untuk menyambung rintihan kesedihan mereka (rakyat Palestin) tetapi kita sedang membantu mereka menghadapi kesusahan pada hari ini,” katanya.

Jamil turut menambah himpunan itu bukan bertujuan politik sebaliknya demi tugas yang lebih besar menyelamatkan umat Islam.

Himpunan Munajat MyAQSA yang berlangsung di Dataran Putrajaya itu bermula seawal jam 2.00 petang dengan beberapa siri kuliah dan soal jawab agama oleh ulama selebriti, pidato tokoh-tokoh NGO dan persembahan kesenian.

Setelah itu, solat Maghrib dan sesi munajat khas Baitulmuqaddis diadakan.

Bincang tindakan

Persidangan meja bulat dianjurkan bersama oleh Yayasan MyAQSA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kesatuan Ulama Palestin Diaspora dan Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata ia membincangkan tindakan yang boleh diambil masyarakat dan ketua-ketua negara Islam dunia susulan pengisytiharan Presiden AS Donald Trump untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Dr Noorazman berkata antara ulama terkenal yang mengambil bahagian ialah Pengarah Harta Wakaf Masjidil Aqsa, Dr Najeeh Bkeerat, Ketua Kesatuan Ulama Sudan, Dr. Abdul Hayy Yusuf, Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi dari India, Maulana Dr Abdul Razzaq Iskandar dari Pakistan dan Abdul Hadi.

Sebagai inisiatif awal, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis khas yang akan dihadiri semua ulama terbabit sejurus persidangan tersebut berakhir pada 28 Januari, katanya.

Selain itu, turut diadakan ialah Ekspo Aqsaku selama tiga hari bermula 26 Januari dengan tarikan utama iaitu pameran replika sebahagian Masjid Al-Aqsa serta program solidariti selebriti bersama Aqsaku.

Himpunan sama di Putrajaya telah diadakan pada 22 Disember lalu anjuran kerajaan yang turut disertai PAS, tetapi ketika itu tanpa kehadiran presidennya.

%d bloggers like this: