CANBERRA: Australia yang mengekalkan keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel, sudah menjangka bakal menerima bantahan dan kritikan negara serantau, termasuk Indonesia dan Malaysia.

AFP melaporkan, Perdana Menteri Scott Morrison, berkata semalam, sebelum mengumumkan keputusan itu, reaksi antarabangsa sudah diambil kira dan Australia akan terus menyokong usaha penyelesaian dua negara.

“Saya rasa tindak balas yang kita dapat daripada negara lain setakat ini, sudah diambil kira.

“Australia akan terus menghormati usaha penyelesaian dua negara (penubuhan negara Palestin) yang kekal menjadi tujuan kami” katanya.

Morrison membayangkan dasar luar mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel Oktober lalu, yang membangkitkan kemarahan Indonesia hingga menyebabkan rundingan dagang kedua-dua negara tergantung.

Semalam, Bernama melaporkan, Malaysia melalui Wisma Putra mengeluarkan kenyataan menentang keras langkah Australia itu dan menganggap keputusan itu ‘terlalu awal’ serta ‘memalukan rakyat Palestin’.

Wisma Putra mengulangi pendirian teguh selama ini bahawa penyelesaian dua-negara, iaitu Palestin dan Israel tinggal bersebelahan dalam suasana aman berdasarkan perjanjian sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negara Palestin adalah penyelesaian yang sesuai bagi konflik Palestin-Israel.

Sabtu lalu, Morrison bagaimanapun berkata, pemindahan Kedutaan Australia dari Tel Aviv tidak akan dilakukan sehingga penyelesaian damai tidak dicapai.

Menurutnya, buat masa ini, Australia akan menubuhkan pejabat kerjasama pertahanan dan perdagangan di Baitulmaqdis.

Baitulmaqdis menjadi isu utama dalam rundingan antara Israel dan Palestin bagi penubuhan negara merdeka Palestin.

Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis, termasuk bahagian timur adalah miliknya selepas Perang Enam Hari pada 1967 untuk dijadikan ibu negaranya.

Palestin dengan sokongan antarabangsa mahu Baitulmaqdis Timur sebagai bandar raya utama negara Palestin yang diharap dapat ditubuhkan meliputi Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. – Agensi

Parti pembangkang Australia, Parti Buruh menyatakan tindakan Perdana Menteri itu sebagai ‘bahaya’.

“Melalui keputusan itu, Morrison meletakkan kepentingan dirinya berbanding kepentingan negara. Ia menarik risiko, bukannya keuntungan,” kata jurucakapnya, Penny Wong. – Harian Metro