AGENSI Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik Pusat (BMKG), Indonesia menarik balik amaran tsunami, 34 minit selepas kali pertama ia dikeluarkan berikutan gempa bumi kuat, kelmarin.

Gempa bumi kuat berskala 7.5 magnitud menyebabkan tsunami yang melanda bandar Palu. Ia terletak kira-kira 1,500 kilometer dari Jakarta dan sepanjang pantai dan setakat ini hampir 400 orang dilaporkan terkorban.

Pegawai berkata hari ini, jumlah kematian dijangka meningkat.

Ketika bencana berlaku, ratusan orang sedang berkumpul bagi meraikan satu perayaan di pantai Palu apabila gelombang setinggi enam meter membadai daratan pada lewat petang kelmarin dan menghanyutkan mangsa.

Susulan bencana itu, BMKG berdepan kritikan, Sabtu di media sosial apabila ramai netizen mempersoalkan mengapa amaran tsunami ditarik balik terlalu awal.

Agensi berkata, pihaknya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan membuat keputusan untuk ‘menamatkan’ amaran berdasarkan data diperoleh daripada alat pengesan pasang surut terdekat iaitu sekitar 200 kilometer dari Palu.

“Kami tidak mempunyai pemerhatian data dari Palu. Jadi kami menggunakan data yang kami ada dan membuat keputusan berdasarkan data itu,” kata Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami di BMKG.