Pada Rabu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan bahawa negaranya telah berjaya menjalankan ujian terakhir peluru berpandu nuklear hipersonik canggih bergelar “Avangard” yang dikatakan mampu memintas sebarang sistem pertahanan peluru berpandu yang ada pada zaman ini.

“Di atas arahan saya, Kementerian Pertahanan telah menyediakan dan melaksanakan ujian terakhir bagi sistem ini.

“Ia (ujian tersebut) telah selesai dengan kejayaan penuh. Rusia kini mempunyai senjata strategik baru,” katanya sambil menambah bahawa Avangard akan bersedia untuk digunakan mulai tahun 2019.

Memetik laporan media antarabangsa, Kremlin (kerajaan Rusia) menyatakan bahawa ujian tersebut telah dilakukan di Timur Jauh Kamchatka sementara Putin berada di pusat kawalan pertahanan negara untuk menyaksikannya.

Difahamkan, beliau telah mendedahkan ciri-ciri yang ada pada Avangard pada bulan Mac, dan menurut Putin, sistem tersebut akan menjadi sebahagian daripada senjata “kebal” generasi baru Rusia.

Peluru berpandu hipersonik berkenaan dilaporkan mampu terbang 20 kali ganda lebih pantas daripada kelajuan bunyi, serta bergerak ke atas dan ke bawah.

Jelas Putin, ini bermakna bahawa Avangard berupaya untuk memintas sistem-sistem pertahanan yang wujud.

Dalam pada itu, ujian terakhir ini dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan untuk menarik AS keluar daripada perjanjian senjata nuklear ketika era Perang Dingin, iaitu Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987.

Putin pula sudah mempunyai rancangan untuk membangunkan peluru berpandu yang dilarang di bawah perjanjian tersebut sekiranya AS menarik diri.