KUALA LUMPUR 25 Jan. – ASN Satellites Corporation Sdn. Bhd menanda­tangani perjanjian perkongsian strategik ekuiti dengan Tatwah Group, yang berpangkalan di China bagi membangunkan industri satelit di rantau Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ASN Satellites Corporation Sdn. Bhd. Andrew Hwan Lee berkata, menerusi perjanjian tersebut yang nilai pelaburannya RM975 juta, Malaysia bakal dijadikan hab pasaran tunggal syarikat berkenaan untuk melebarkan sayap perniagaan hingga menjangkau 630 juta penduduk ASEAN.

“Kami yakin perjanjian tersebut yang memberikan fokus kepada pembangunan bandar pintar dan membangunkan perkhidmatan berkaitan jalur lebar secara serius akan menjadikan Malaysia antara negara terbaik dalam industri satelit komunikasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menanda­tangani perjanjian perkongsian strategik ekuiti antara ASN Satellites Corporation Sdn. Bhd dan Tatwah Group di sini hari ini.

Majlis menanda­tangani perjanjian perkongsian strategik ekuiti itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

ASN Satellites Corporation Sdn. Bhd. diwakili Andrew manakala Tatwah Group diwakili Pengerusinya, Cai Xiaoru. – UTUSAN ONLINE