AS mungkin serang Syria

Presiden Amerika Syarikat (AS), semalam menjanjikan akan bertindak balas terhadap serangan disyaki menggunakan senjata kimia di Syria, membayangkan potensi satu tindak balas ketenteraan.

Donald Trump memaklumkan akan membuat keputusan malam ini atau esok, sambil menambah AS mempunyai banyak pilihan dari segi tindak balas ketenteraan ke atas Syria, kata beliau dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tentera dan penasihat keselamatan kebangsaan.

“Kita tidak boleh membiarkan kekejaman seperti yang kita saksikan berlaku, kita tidak boleh membiarkan ia berlaku di dunia terutama bila kita mampu menghentikannya dengan kuasa AS,” kata Trump.

Serangan yang disyaki menggunakan senjata kimia lewat Sabtu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang dengan lebih 1,000 cedera di beberapa lokasi di Douma, bandar berhampiran Damsyik, kata agensi bantuan Syria.

Penilaian awal AS gagal menentukan jenis senjata kimia yang digunakan dalam serangan itu dan tidak boleh menyatakan sama ada kerajaan Presiden Bashar al-Assad bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Trump berkata Washington mahu mendapatkan ‘petunjuk lebih jelas’ mengenai siapa bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Beberapa pegawai AS memaklumkan Reuters, Washington sedang menimbang tindakan ketenteraan membabitkan pelbagai negara.

Rumah Putih berkata, Trump dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron berhubung dua kali dalam tempoh 24 jam untuk menyelaras tindakan mereka.

Sebelum ini, presiden Russia Vladimir Putin mengatakan bahawa tuduhan Barat mengenai kerajaan Syria melancarkan serangan kimia ke atas kawasan yang dikuasai oleh pengganas adalah “berita palsu.”

Syria telah menyerahkan seluruh simpanan senjata kimianya di bawah perjanjian yang dirundingkan oleh Rusia dan Amerika Syarikat pada 2013.

Dia menambah bahawa serangan seperti itu dilakukan oleh militan sendiri tetapi mereka menyalahkan kerajaan Presiden Syria Bashar al-Assad.

%d bloggers like this: