Amerika Syarikat (AS) menggesa supaya agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dibubarkan, beberapa minggu sebelum mendedahkan aspek ekonomi terhadap pelan damai Asia Barat mereka.

Ketika berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB, Penasihat AS, Jason Greenblatt berkata agensi terbabit hanya bersifat sementara dan sudah tiba masanya untuk menyerahkan tugas itu kepada negara yang menaja pelarian dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Model UNRWA mengecewakan rakyat Palestin,” katanya.

Tahun lalu, pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan semua pembiayaan yang diperuntukkan kepada UNRWA dan mendakwa terdapat kelemahan dalam agensi itu ketika Washington mencari penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Greenblatt bersama menantu Trump, Jared Kushner yang membuat draf cadangan pelan damai itu berkata, tiba masanya untuk berbincang mengenai rancangan peralihan perkhidmatan UNRWA sama ada kepada kerajaan penaja atau NGO antarabangsa atau tempatan lain.