Amerika Syarikat (AS) menggantung buat sementara waktu penggunaan pesawat pejuang F-35 susulan nahas melibatkan pesawat itu di South Carolina bulan lalu.

Penggantungan dibuat bagi membolehkan pemeriksaan sepenuhnya dijalankan ke atas pesawat itu yang merupakan antara program pertahanan paling mahal di dunia.

Jualan global pesawat berkenaan dijangka pada 3,000 unit ketika ini.
Dalam satu kenyataan, tentera AS memaklumkan pemeriksaan dijangka selesai dalam tempoh 24 ke 48 jam.

Menurut jurucakap Pentagon, Lt Kol Mike Andrews, ada di antara pesawat pejuang itu yang telah diperiksa dan dibenarkan untuk terbang semula.

Pesawat F-35 dibangunkan dengan teknologi senyap, membolehkan ia elak dikesan radar.

Keputusan itu menghentikan buat sementara waktu operasi tempur oleh Marin AS, yang telah mula melakukan serangan udara terhadap Taliban di Afghanistan sehari sebelum nahas.

Sebuah pesawat Marin F-35B terhempas jatuh di sebuah pulau yang tidak didiami di South Carolina pada 28 Sept.

Juruterbangnya dilaporkan berjaya menyelamatkan diri sebelum kemalangan.

– Astro Awani