NEW YORK: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menarik diri dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan menuduh badan itu sebagai ‘anti Israel yang berat sebelah’.

Agensi berita Al Jazeera yang memetik jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert, Khamis lalu sebagai berkata, AS akan menubuhkan ‘misi pemerhatian’ bagi menggantikan perwakilannya di pertubuhan yang berpangkalan di Paris itu.

Dalam satu kenyataan yang mengumumkan penarikan diri itu, Israel berpendapat keputusan pentadbiran AS sebagai ‘berani dan bermoral dan menuduh UNESCO menjadi pertubuhan yang ‘membuat cerita karut’

“Perdana menteri mengarahkan Kementerian Luar Negara untuk bersedia menarik diri dari pertubuhan itu bersama AS,” kata pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netayanu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova menyifatkan penarikan AS sebagai satu ‘kehilangan kepada asas multilateralisme’ dan menyatakan bahawa UNESCO tidak pernah dianggap begitu penting kepada AS atau AS kepada UNESCO’.

Katanya, pada masa berlakunya ‘konflik yang berterusan menghancurkan masyarakat di seluruh dunia, ia adalah perkara yang mengecewakan kepada AS kerana menarik diri dari agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempromosikan pendidikan bagi tujuan keamanan dan memulihara budaya. – Berita Harian