Arab Saudi sasar untuk menarik pelaburan sektor swasta bernilai 1.6 trilion Riyal (RM1.75 trilion) menjelang 10 tahun akan datang menerusi program pembangunan industrinya, National Industrial Development and Logistics Program (NIDLP).

NIDLP merupakan salah satu program di bawah Visi 2030 yang diperkenalkan oleh Putera Mahkota Putera Mohammed Bin Salman untuk memperkasakan serta mempelbagaikan ekonomi negara itu yang selama ini amat bergantung kepada minyak sahaja.

Menurut Menteri Tenaga, Khalis al-Falih, kerajaan Arab Saudi akan mengumumkan projek-projek bernilai 70 bilion Riyal (RM76.7 bilion) yang sudah “bersedia untuk perundingan” di bawah NIDLP dalam usaha memajukan industri, perlombongan, dan logistik.

Di peringkat seterusnya, kerajaan bercadang untuk mengumumkan projek-projek berkaitan ketenteraan, kimia, dan perniagaan-perniagaan industri kecil yang bernilai AS$50 bilion (RM206 bilion).

“Program tersebut (NIDLP) menyasarkan 1.6 trilion Riyal….ia adalah program yang ‘bercita-cita tinggi’ tetapi ia akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, jadi kita mempunyai masa untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Difahamkan juga, program ini akan mendapatkan dana daripada pelabur-pelabur tempatan dan asing.

“Kita akan mendapatkan sumbangan besar daripada sektor swasta di luar negara, tetapi kita akan memberi bahagian besar untuk sektor swasta Saudi,” jelas Falih.

Program NIDLP akan mengintegrasikan sektor-sektor perlombongan, industri, dan tenaga yang dikatakan penting dalam rancangan Arab Saudi untuk memperkasakan sektor swasta dan menjadikannya pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Nabeel al-Amudi menyatakan bahawa NIDLP akan melancarkan 60 inisiatif dalam sektor logistik, termasuk pembinaan lima lapangan terbang baru, landasan keretapi sepanjang 2,000 kilometer, dan rancangan untuk menarik pelaburan bernilai lebih daripada 135 bilion Riyal (RM147.9 bilion).

“Menjelang tahun 2020, kita menyasarkan sektor logistik aan menyumbang 221 bilion Riyal (RM242.2 bilion) terhadap keluaran kasar dalam negara (KDNK),” ujar Amudi.

Di bawah Visi 2030 juga, kerajaan Arab Saudi berhasrat untuk melihat sektor-sektor swasta negara itu mengendalian kebanyakan infrastruktur pengangkutannya, termasuk lapangan terbang dan pelabuhan, sementara kerajaan memainkan peranan sebagai pengawal selia.