Arab Saudi menolak tuduhan bahawa wartawan, Jamal Khashoggi dibunuh oleh skuad khas di dalam bangunan konsulat negara itu di Istanbul, sekali gus menganggap dakwaan itu sebagai satu penipuan serta tidak berasas.

Ketika ini, Riyadh dan Ankara dilaporkan bertelagah berhubung insiden kehilangan wartawan Washington Post, warga Arab Saudi berkenaan.

Pada masa sama, Washington Post melaporkan bahawa pihak berkuasa Turki berjaya memperoleh rakaman yang dibuat di dalam bangunan terbabit, yang didakwa bukti Jamal didera dan dibunuh di konsulat itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengesahkan ketibaan delegasi Arab Saudi di Turki bagi membincangkan kejadian itu, yang meningkatkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara.

“Berita yang tersebar mengenai arahan dikeluarkan bagi membunuh beliau (Jamal Khashoggi) adalah tuduhan tidak berasas dan satu penipuan,” kata Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdul Aziz bin Saud, iaitu kenyataan pertama dikeluarkan mengenai kes pembunuhan Jamal.

Putera Abdul Aziz dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita SPA, berkata: “Kerajaan Arab Saudi sentiasa berpegang kepada prinsip, peraturan serta tradisinya dan ia adalah mematuhi konvensyen dan undang-undang antarabangsa”. – AFP