Suruhanjaya Eropah (EC) memasukkan Arab Saudi, Panama, Nigeria dan beberapa kerajaan lain ke dalam senarai hitam negara yang dilihat memberikan ancaman kerana kurang kawalan ke atas pembiayaan keganasan dan pengubahan wang haram, kata eksekutif Kesatuan Eropah (EU) semalam.

Langkah itu adalah sebahagian kempen membanteras pengubahan wang haram selepas beberapa skandal di bank EU tetapi dikritik negara lain dalam blok itu termasuk Britain yang bimbang dengan hubungan ekonomi mereka dengan negara terbabit, terutama Arab Saudi.

Sementara itu, Riyadh meluahkan kekesalan di atas keputusan itu dalam kenyataan disiarkan Saudi Press Agency, menambah: “Komitmen Arab Saudi memerangi pengubahan wang haram dan membiaya keganasan adalah keutamaan strategik.”

Panama berkata, ia perlu dibuang daripada senarai itu kerana baru-baru ini mengamalkan peraturan lebih ketat terhadap pengubahan wang haram.

Di sebalik tekanan mengeluarkan Riyadh daripada senarai, EC memutuskan menyenaraikan negara itu, mengesakan laporan Reuters Januari lalu.

Selain menjejaskan reputasi, berada dalam senarai berkenaan menyukarkan hubungan kewangan dengan EU.

Bank di blok berkenaan perlu melakukan pemeriksaan tambahan ke atas bayaran membabitkan entiti daripada negara tersenarai.

Senarai itu kini bertambah kepada 23 negara berbanding 16 sebelum ini.

Terbaru yang tersenarai adalah Libya, Botswana, Ghana, Samoa, the Bahamas dan empat wilayah AS iaitu American Samoa, Virgin Islands, Puerto Rico dan Guam. – Reuters