Negara pembuli antarabangsa, Amerika Syarikat (AS), mengumumkan menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di sini, yang mana pemimpin Palestin menyifatkannya sebagai ‘perisytiharan perang’ terhadap keamanan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Pada masa sama, Jabatan Negara AS turut memberi amaran untuk mengenakan sekatan terhadap hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), jika ICC menjalankan siasatan ke atas AS dan Israel.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Negara AS berkata, PLO tidak mengambil langkah untuk menyambung semula rundingan damai terus dengan Israel.

“Kami memberi kebenaran kepada pejabat PLO untuk beroperasi bagi mencapai perdamaian yang komprehensif antara Israel dan Palestin sejak tamatnya tempoh pengecualian pada November 2017.

“Bagaimanapun, PLO gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memulakan rundingan dengan Israel. PLO juga mengecam pelan damai AS yang belum lagi mereka lihat dan enggan terbabit dengan kerajaan AS,” kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert.

Dalam kenyataan balas, Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata, langkah itu akan membenarkan rejim Israel meneruskan polisi terhadap rakyat dan tanah Palestin.

“Ia adalah perisytiharan perang dalam usaha membawa keamanan kepada negara kami dan rantau Arab,” kata jurucakap PA, Yousef al-Mahmoud.

Setiausaha Agung PLO, Saeb Erekat berkata, tindakan menutup misi diplomatik adalah satu lagi pengesahan bahawa polisi pentadbiran Trump untuk menghukum rakyat Palestin secara kolektif, termasuk memotong bantuan kewangan kepada kemanusiaan, seperti kesihatan dan pendidikan.

Katanya, keputusan itu juga menunjukkan AS bersedia untuk mengetepikan keputusan antarabangsa, bagi melindungi jenayah dan serangan Israel terhadap tanah dan rakyat Palestin serta menentang keamanan di rantau itu.

Pada masa sama, Penasihat Keselamatan Trump, John Bolton, mengancam ICC dengan sekatan jika siasatan dijalankan ke atas AS dan Israel.

Katanya, AS menyasarkan ICC jika mereka menyiasat dakwaan jenayah perang yang dilakukan anggota tenteranya di Afghanistan.

Sementara itu, peguam dan penganalisis yang bertindak sebagai penasihat perundangan kepada pasukan rundingan Palestin pada tahun 2000 hingga 2005 lalu, Diana Buttu berkata, keputusan menutup pejabat PLO itu adalah antara senarai permintaan yang dibuat rejim Zionis kepada pentadbiran Trump tahun lalu.

“Amerika telah diberi senarai permintaan oleh Israel, dan mengandungi segala-gala yang dikehendaki oleh kerajaan Benjamin Netanyahu.

“Sedikit demi sedikit, pentadbiran Trump melakukan seperti yang diminta. Pertama, kita melihat perisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Mei lalu.

“Kemudian, kita melihat jumlah pelarian dihadkan dan pemberhentian bantuan kepada UNRWA, dan akhirnya tidak membenarkan Palestin mempunyai pejabat wakil di AS,” katanya.

– IW/Agensi