Buat pertama kali dalam sejarah, Amerika Syarikat telah mengisytiharkan pasukan tentera sebuah negara sebagai pertubuhan pengganas, sekali gus menjadikan pasukan elit Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mangsa mereka.

Pada masa sama, Iran membalas tindakan itu dengan mengisytiharkan Amerika sebagai negara penaja keganasan, manakala tentera Amerika yang berada di rantau Teluk sebagai kumpulan pengganas.

Selain itu, Amerika turut menyenaraihitamkan puluhan entiti dan individu di seluruh dunia kerana pembabitan mereka dengan IRGC.

Tindakan terbaharu Amerika itu dilihat terus meningkatkan tekanan kewangan, kenaikan kos dan membebankan ekonomi Iran.

“Iran bukan sahaja menyokong negara pengganas, malah IRGC juga secara aktif turut serta membiayai dan menggalakkan keganasan,” kata Presiden Amerika, Donald Trump dalam satu kenyataan.

Beliau memberi amaran sesiapa sahaja yang berurusan dengan IRGC, secara tidak langsung menyokong pengganas.

Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo, yang juga pengkritik tegar Iran berkata, sekatan itu akan dilakukan dalam masa seminggu.

Sekatan itu membenarkan Amerika untuk menghalang kemasukan individu yang didapati memberi sokongan material kepada IRGC atau mendakwa mereka yang melanggar sekatan.

Langkah itu turut membabitkan semua syarikat berpangkalan di Eropah dan Asia, serta ahli perniagaan yang berurusan dengan afiliasi IRGC.

Kesan daripada sekatan ini, tentera dan diplomat Amerika boleh dihalang daripada dihubungi oleh pihak berkuasa Iraq atau Lubnan yang berinteraksi dengan pegawai IRGC.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Keselamatan Iran mengisytiharkan kerajaan Amerika sebagai pembiaya keganasan, manakala Pusat Pemerintah Amerika (CENTCOM) sebagai kumpulan pengganas.

“Sayap CENTCOM melaksanakan dasar keganasan kerajaan Amerika terhadap Asia Barat, selain membahayakan keselamatan Tehran dan kehidupan rakyat Iran yang tidak bersalah,” kata majlis itu merujuk serangan sengaja terhadap pesawat penumpang Iran pada tahun 1988.

“Amerika harus bertanggungjawab terhadap semua akibat daripada tindakan itu,” kata majlis berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Ketegangan antara kedua-dua negara bermula sejak Amerika menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Tehran pada Mei lalu dan melancarkan sekatan yang melumpuhkan ekonomi Iran.

Tehran juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika, yang katanya, dibuat susulan kejayaan Iran memerangi militan Islamic State (IS) di rantau itu. – Agensi