Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang jelas menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, rakyat bebas untuk menyuarakan pandangan atau memberi teguran dalam aspek agama namun penghinaan terhadap akidah dan kepercayaan sesuatu agama tidak boleh diterima sama sekali.

“Kita kena bezakan antara hak dan kebebasan mengkritik dan menyoal beberapa aspek agama, itu masih boleh tapi untuk menghina akidah dan keyakinan, hina Rasul ialah kerja bodoh dan jahat yang tidak menguntungkan negara.

“Kalau ada orang anggap perkara ini (menghina) hanya merupakan sikap bebas dan liberal, ia bermakna fahaman individu tersebut sesat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2017 ke-33, di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan agar tidak menyamakan pandangan (penghinaan terhadap agama) sesetengah individu sebagai ia mewakili sesuatu kaum secara keseluruhannya.

Kata Anwar, kerajaan kini sedang menumpukan terhadap soal pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat dan tidak mahu teralih dengan pandangan individu sebegini.

“Oleh demikian, pihak penguat kuasa perlu ambil tindakan tegas dan cepat untuk mengelakkan perkara sebegini berulang kerana sikap tidak toleransi ini akan mengundang kesan tidak baik,” katanya yang juga merupakan anggota Parlimen Port Dickson.

Dalam perkembangan lain mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Anwar berkata sambutan masyarakat terhadap Pakatan Harapan (PH) adalah memberangsangkan setakat ini.

Bagi persediaan PRK DUN Rantau pula, katanya satu perbincangan akan diadakan hari ini bagi berkongsi pandangan mengenai calon, jentera dan strategi pilihan raya.

Katanya, beliau tidak dapat memastikan bilangan nama yang disenaraikan namun mengesahkan nama Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram ada dalam senarai tersebut. – Bernama